Monday, August 15, 2016

ANCAMAN ISIS DI MALAYSIA MULA MEMASUKI FASA 3


 

Menurut analisa yang dibuat, terdapat satu trend yang menggunakan modus operandi serupa oleh mana-mana kumpulan pengganas. Jika dahulu umat Islam menyaksikan kemunculan al-Qaeda, Taliban dan pelbagai lagi kumpulan militant lain, kini kita digemparkan pula dengan kemunculan ISIS iaitu kesinambungan gerakan-gerakan pengganas yang mula membentuk haluan baharu setelah berlakunya perebutan jawatan dalam organisasi. Walau apapun jua nama kumpulan pengganas ini, trend modes operandinya adalah sama, ideologinya sama serta rujukannya juga sama. 

Fasa pertama, kumpulan pengganas akan menumpukan perhatian terhadap orang awam untuk di “brainwash” terutama sekali para penuntut di universiti. Ini bagi tujuan pengkaderan ahli-ahli militant. Medium brainwash yang diambil sama ada usrah-usrah tertutup yang tidak berdaftar dengan pihak institute pengajian. Selain itu, melalui risalah-risalah “dakwah” sama ada hardcopy ataupun melalui media-media sosial.

Perkara yang sentiasa akan diapi-apikan adalah mengenai ilmu Hadis. Golongan pengganas ini mula menjatuhkan martabat ulama silam dengan mendakwa “Hadis tersebut palsu” dan sebagainya. Golongan pengganas akan mendoktrinkan kepada orang awam dengan disiplin hadis yang menyeleweng. Kemudian, mereka mengajak orang awam untuk menterjemahkan hadis-hadis ini dengan kefahaman akal sendiri secara literal tanpa merujuk ulama kerana kononnya ulama tidak maksum.

Kemudian, golongan pengganas akan mula menghasut orang awam untuk membenci ulama. Maka golongan ini akan merosakkan pula sistem ilmu fiqah. Mereka akan menentang mazhab-mazhab dan para ulama muktabar. Mereka menanamkan “mindset” mudah menyesatkan, membidaahkan, mensyirikan dan mengkafirkan umat Islam.

Seterusnya, mereka mula merosakkan disiplin ilmu akidah umat Islam. Mereka akan mendakwa sesiapa sahaja yang tidak mahu ikut berperang, maka orang itu murtad lalu layak dibunuh. Sesiapa sahaja yang tidak sefahaman dengan mereka, maka akan dilabel sebagai Syiah, Taghut, Demokrasi laknat dan sebagainya.
Fasa kedua, golongan pengganas ini akan mensasarkan kepada institusi agama Islam. Semua ulama akan dilabel sebagai menyokong kezaliman jika menentang ideology teroris mereka. Kritikan dan fitnah akan disebarkan melalui media bagi memburukkan institusi atau agensi agama. Akal orang awam yang telah diprogramkan dengan mindset pengganas pada Fasa pertama akan mula menjadi liar.

Fasa ketiga, golongan pengganas ini akan mensasarkan target mereka kepada pihak keselamatan. Setelah pengkaderan orang awam di Fasa pertama dan memburukkan institusi agama di Fasa kedua, maka mereka akan mula menyatakan ancaman kepada pihak keselamatan pada Fasa ketiga. Mereka akan menanamkan rasa benci kepada pihak Polis dan seterusnya kepada Angkatan Tentera Negara. Ketika ini, kita akan melihat banyaknya berlaku rompakan-rompakan bank atas dasar “memerangi riba”. Wang-wang rompakan ini akan digunakan untuk membeli senjata api dari “pihak luar”. Senjata-senjata ini adalah untuk melancarkan serangan terhadap pihak polis. Jika pihak polis berjaya diancam, mereka akan mula melancarkan serangan terhadap Angkatan Tentera.

Maka masuklah pada peringkat terakhir. Setelah mana Angkatan Tentera dapat mereka lumpuhkan, maka rampasan kuasa akan berlaku. Keadaan darurat akan berlaku. Nyawa orang awam dalam bahaya. Jika telah berjaya melakukan rampasan kuasa, maka datanglah mereka ke kediaman-kediaman rasmi pemimpin politik. Para pemimpin akan ditangkap, diseksa dan dibunuh secara kejam sama ada pancung, bakar atau sebagainya. Setelah jatuhnya sesebuah kerajaan, maka mereka akan mendirikan sebuah negara haram baharu.

Ketika ini sudah tiada guna. Orang tempatan sendiri akan sukar untuk bangkit melawan mereka. Maka sebahagian pemimpin tempatan sesebuah negara mengambil keputusan untuk “meminta bantuan” negara kuasa besar dunia bagi “menyelesaikan” kemelut ini. Jika hal ini berlaku, penjajahan bentuk baharu akan berlaku. Kita perlu menunggu 10, 30, 50 atau 100 tahun pula bagi melihat semula sinar keamanan dan kemerdekaan negara.
Hal di atas semuanya adalah analisis terhadap trend perkembangan gerakan militant negara-negara yang sedang bergolak perang saudara. Trend ini sebenarnya juga boleh dilihat sedang berlaku di Malaysia. Pada fasa pertama, Malaysia sedang mengalami masalah kekurangan adab dalam kalangan rakyat. Banyak ajaran-ajaran menyeleweng telah difatwakan. Isu mempertikai status hadis, perdebatan perkara khilaf furu’iyyah dan sikap suka mengkafirkan sesama umat telah lama berlaku.

Malaysia melangkah ke Fasa 2 dimana kita boleh melihat pelbagai agensi agama, mufti-mufti dicerca oleh anak muda di media sosial. Pelbagai risalah, portal-portal fitnah oleh media tertentu dan penyebaran maklumat palsu mengenai kenyataan-kenyataan para ulama telah diseleweng dan diperhina.

Kini, Malaysia sedang memasuki fasa 3 iaitu selangkah sebelum fasa terakhir. Kita boleh lihat bagaimana terdapat anggota ISIS mencabar Ketua Polis Negara. Gerakan radikal secara underground ini juga sedang giat menyebarkan fitnah kononnya Polis DiRaja Malaysia sedang diresapi fahaman Syiah. Begitu juga dengan DCP Datuk Ayob Khan iaitu Ketua Penolong Pengarah Counter Teroris Cawangan Khas PDRM Bukit Aman yang telah menerima pelbagai ugutan serta pelbagai tohmahan dari individu tertentu melalui media kontroversi tertentu. 

Menurut DCP Datuk Ayob Khan ketika Seminar DAESH di Kuala Lumpur, sepanjang operasi membanteras kegiatan pengganas yang dilakukan PDRM, terdapat juga mereka yang memiliki PhD menjadi anggota kumpulan militan. Tidak kira sama ada PhD di bidang hadis, kejuruteraan atau sebagainya, golongan-golongan akademik bergelar “Dr.” inilah sebenarnya antara punca berkembangnya doktrin terroris. Beberapa nama individu berpengaruh yang berpotensi menjadi pendakyah doktrin radikalisma sedang dalam pemerhatian pihak berautoriti untuk diambil tindakan.

1 comment:

Anonymous said...

Wahabiyah, selangkah lg utk menjadi khawarij atau liberal.
Bermula dgn tafsiran secara literal, tafsiran sendiri sendiri.
Melahirkan egoist egoist yg merasa benar sendiri.